Wednesday 14 March 2012

Definisi Dialog dan Peradaban

Assalamualaikum w.b.t

untuk mengkaji, perlu ada usaha
dan usaha pertama bermula dengan bertanya


Apakah itu dialog peradaban? Adakah sama seperti diskusi atau forum-forum yang dijadikan acara tahunan bagi menjana idea dalam melestarikan kesejagatan dan kesepakatan sesebuah pertubuhan?

Hashim Musa(sila ingat nama ini, gambar beliau kini terpapar di sebelah kiri skrin), dalam bukunya Merekonstruksi Tamadun Melayu, telah memberi penjelasan terhadap soalan cepu emas diatas, yakni sesebuah dialog peradaban itu haruslah, mestilah, perlulah dan wajarlah memiliki ciri-ciri di bawah:

1) Mesti bersetuju atas segala perbezaan. Tidak boleh bersikap relativisme, iaitu menganggap semua agama betul dan benar. Kena bersetuju dengan perbezaan agama dan worldwide masing-masing

2) Bukan untuk membuat penilaian atau dalam bahasa Inggerisnya- value judgement. Dialog bertujuan untuk memahami dan berdiskusi serta menghormati adat dan budaya orang lain.

3)Elakkan singkritisme, iaitu menyesuaikan agama lain dengan agama sendiri atau agama yang lain.

4) Bersikap pluralisme, masing-masing ada kekuatan dan keistimewaan yang tersendiri.

Maka secara makroskopiknya, dialog peradaban bermaksud hubungan, pertemuan, komunikasi dan lain-lain yang berlaku antara kelompok, masyarakat dan seterusnya negara. Pengalaman dan penerimaan daripada peradaban lain melalui proses dialog tamadun adalah proses yang biasa dalam sebuah ketamadunan.

Dalam post pertama, telah dinyatakan, sebagai manusia yang diberikan nikmat akal, maka kita haruslah menggunakannya untuk menilai apakah itu kebenaran dan apakah itu penyelewengan fakta. Hal ini demikian kerana, berlesenkan konsep pertembungan peradaban, (Hunthington, S., 2004), pihak Barat telah memburukkan imej, umat dan gerakan Islam dengan tuduhan-tuduhan palsu agar misi mereka untuk menyaksikan kemusnahan kebangkitan Islam tercapai, juga bagi melihat kejatuhan pembangunan negara-negara Islam. Islamophobia, penanaman fahaman inilah yang menjadi misi pihak Barat.

Para kapitalis yang ganas dan serakah sanggup menganiaya dan menindas manusia lain tanpa belas kasihan kerana mereka tidak melihat manusia sebagai manusia yang juga sama spesiesnya seperti mereka, tetapi sebagai alat untuk mencapai tujuan mereka.

Lantaran itu, umat Islam dan keseluruhan masyarakat yang mendokong prinsip kedamaian dan kemakmuran sememangnya perlu bangkit dan sedar, bahawa kondisinya kita kini dalam kehausan akan kehadiran dasar hidup yang tidak lagi menindas dan mempergunakan, tetapi lebih kepada prinsip hormat-menghormati dan bekerjasama membuang persepsi negatif ke atas sesuatu isu, dan mencuba mencari jalan penyelesaian.

Penjajahan sebenar bermula dalam minda yang tidak mahu mengetahui dan mengakui fakta sebenar.Maka dari meja pemerintah, kerjasama dalam mengembalikan semula keabsahan perundangan dan dasar keadilan harus diutamakan, dan ini perlu dilakukan dengan penuh kejujuran.Dari meja seorang insan, usaha untuk mengetahui kesahihan sesuatu isu haruslah dijalankan agar tidak tertipu dengan permainan media semata-mata, dan daripada sini kita dapat lihat betapa pentingnya dialog peradaban itu, yang menjadi ruang untuk menyelesaikan kekusutan atau salah faham atas sesuatu isu.


bersama kita membentuk sebuah warga dunia yang cintakan kebenaran dan ruang diskusi untuk lebih memahami!

No comments:

Post a Comment